Saturday, August 29, 2009

SAAT CINTA-NYA MEMBIASI IMAN

SAAT CINTA-NYA MEMBIASI IMAN

Suria mencicip air teh yang dibuatnya, masih lagi panas tenang berada dalam mug di atas mejanya. Kedengaran sayup-sayup dari luar kamar hostel suara muazzin melaungkan azan Maghrib dari masjid Shah, UIA. Suria menutup tingkap kamarnya yang terbuka sedari tadi. Tiba-tiba kedengaran derap kaki menghampiri pintu bilik. Ah, pasti itu Jamilah. Hanya mereka berdua sahaja menghuni bilik yang mempunyai empat compartment di tingkat lima blok D, Mahallah Halimah.
“Ke mana?” Tegur Suria melihat Jamilah sedang memulas tombol pintu hendak keluar dari tempat meja tulisnya yang boleh melihat jelas ke pintu bilik mereka. Jamilah siap berjubah hitam, wangian yang dipakainya menusuk hidungnya, lembut dan wangi. Jamilah menoleh sambil mengukir senyum dibibir.
“Ada meeting. Nanti lepas isyak saya balik.” Beritahu Jamilah pendek. Suria terkejut, berhenti mencicip air tehnya sebentar. Dahinya berkerut mendengar kata-kata teman sebiliknya.
“Meeting? Meeting apa waktu Maghrib begini? Mana ada orang meeting waktu Maghrib.” Tanya Suria, Entah persatuan apa yang disertai Jamilah. Jamilah tersenyum dengan reaksi spontan Suria.
“Erm, He needs us to be on time during meeting. I get to go, Assalamualaikum.” Beritahu Jamilah lalu menutup pintu bilik perlahan-lahan. Suria sedikit terpinga-pinga dengan jawapan temannya, berlapik-lapik gaya. Suria segera menghabiskan air teh yang sudah suam itu perlahan-lahan sebelum melangkah ke bilik air untuk mengambil wuduk. Ah, belum lagi pukul 8. Getus hatinya.
………………………………………….
“Dari mana?” Tanya Jamilah melihat Suria yang jelas kepenatan dari riak wajahnya memasuki bilik mereka. Ketika Jamilah sedang menggosok baju. Suria melepaskan beg yang digalasnya diatas meja dan menghempaskan badannya ke katil sambil melepaskan selendang yang dililit di kepala rakus. Kedengaran jelas keluhan dari bilik Suria. Jamilah menutup suis seterikanya dan menghampiri bilik Suria.
“Penat, ya? Mesti dari library.” Duga Jamilah tersenyum lalu menghampiri meja Suria dan menuang air suam dalam cerek elektrik ke dalam mug Suria yang berada di sebelahnya. Mug yang berisi air suam dihulurkan kepada Suria yang masih berbaring. Suria bangkit lalu mencapai mug tersebut. Jamilah menarik kerusi untuk duduk menghadap temannya yang rakus meneguk air suam yang tidak berperisa itu.
“A’ah, I went to library. Oh my God! too many things to do, catching for the due date in less than 2 weeks. Macam orang gila belajar.” Luah Suria dengan sengaja membesarkan matanya sambil keningnya beriringan terangkat. Jamilah tenang mendengar luahan temannya.
“Ilah, tak ada meeting ke malam ini? Tadi masa saya balik baru azan. You should be on time in meeting!"
Suria mengingatkan Jamilah yang hampir setiap hari ada meeting terutamaya waktu Maghrib. Tapi jarang pula dia bercerita tentang persatuannya mahupun aktiviti yang dijalankan. Pelik betul temannya ini.
“Oh, meeting is postponed.” Jelas Jamilah, menahan geli hatinya dengan kata-kata Suria.
“I’m so curious to know what kind of society you joined for all this while.” Tanya Suria, lupa sejenak keletihannya memerah otak seharian di library. Terasa neuron-neuron otaknya seperti wajar-wayar yang terputus dari soket sehingga tak lagi berfungsi. Tangannya masih memegang mug yang sudah tidak berisi sambil memandang tepat ke mata Jamilah.
“meeting with Allah! Jangan lewat pula solat maghrib.” Balas Jamilah ringkas lalu meninggalkan Suria yang terpanar dengan jawapan yang tidak pernah diduganya.
…………………
“Awak buka puasa ke?” Tanya Suria melihat Jamailah sedang meneguk teh ais yang dibeli di kafe. Jmailah tersenyum.
“Alhamdulillah.” Balas Jamilah ringkas, lalu menghulurkan karipap kepada Suria, tetapi ditolak.
“Saya dah makan tadi, puasa apa?” Tanya Suria, sejak akhir-akhir ini teman sebiliknya kerap berpuasa. Ramadhan 2 minggu lagi.
“Puasa Nisfu Sya’ban. Sekarang sudah 15 Sya’ban. Eloklah berpuasa.” Beritahu Jamilah lalu menyua karipap ke mulutnya perlahan-lahan.
“Hari-hari, malam-malam amalan kita diangkat ke langit, setiap isnin dan khamis amalan kita selama seminggu diangkat. Dan setahun sekali pada malam Nisfu Sya’ban, amalan tahunan kita diangkat. Rasulullah suka saat buku amalannya diangkat, baginda sedang berpuasa. Erm, bagaimanalah agaknya buku amalan kita setahun ini? kosong dengan amal ibadah ataupun penuh dengan dosa yang tak berpenghujung.” Sambung Jamilah. Kedengaran keluhan kecil dari Jamilah, riak wajahnya sedikit berubah. Belum sempat Suria respon, telefon bimbitnya bordering, dia segera meninggalkan Jamilah untuk ke biliknya. Sebentar kemudian Suria melangkah ke bilik Jamilah tapi langkahnya terhenti. Jamilah menangis! Air matanya menitis ke atas plastik berisi karipap yang dibeli, sebiji karipap yang dimaknnya tadi masih lagi tersisa.
Kenapa Suria menangis? Getus hati Suria tiba-tiba. Sejak semester lalu, banyak perkara yang dia masih belum tahu tentang Jamilah.
………………………….
“Buat apa di sini?” Tanya Suria melihat Jamilah yang keseorangan duduk di bangku sambil termenungkan bulan. Seminggu lagi Ramadan akan tiba.
“Hm, mencari Tuhan.” Balas Jamilah apabila Suria mengambil tempat duduk disebelah. Suria terkejut.
“Awak ini berfilosofi pula. Tuhan mana boleh dilihat, akhirat baru boleh jumpa.” Kata Suria pula sambil tergelak kecil. Jamilah tenang disisi memerhatikan bulan di langit, sebutir bintang berkerdip di sisinya menemani. Seperti seorang raja yang diringi oleh pegawai peribadinya.
“ Mencari rasa kehadiran Allah saat ini.” Padat kata-kata Jamilah membuat Suria terkunci mulut.

“Su, ingat tak kisah pengembaraan fitrah Nabi Ibrahim? Kisah Nabi Ibrahim mencari Tuhan. Di lihat Matahari, katanya itulah Tuhan kerana matahari menyinari seluruh buana. Tapi dia kecewa apabila matahari terbenam. Tuhan tidak akan meninggalkan hambanya walau apa jua ketika. Begitu juga dilihat bulan disangka Tuhan kerana bulan menerangi malam, tapi ia juga hilang saat fajar menjelang. Seperti bulan itu lemah untuk bersaing dengan suria matahari. Masing-masing dikalahkan oleh kekuatan masing-masing.” Jamilah berhenti sejenak. Suria dapat melihat matanya mula berkaca. Ah, senang sekali Jamilah untuk menangis, tapi kerana apa? Mengapa sejak akhir-akhir ini terlalu banyak tanda tanya tentang sahabatnya bermain di hatinya.
“Su, Allah itu bukan bulan atau matahari. Allah tidak mungkin dikalahkan oleh suatu kuasa lain. Pernah terfikir betapa cantik Allah sehingga bulan ini mampu dicipta sebegitu cantik, cahayanya membiasi langit malam walaupun kita tahu jarak bulan itu berjuta batu dari bumi. Pernah terfikir betapa kuat dan gagahnya Allah sehingga mampu menciptakan matahari yang panas membahang untuk manusia di samping cahaya jingganya menerangi alam? Pernah terfikir betapa bijaknya Allah sehingga tumbuhan mampu melalui proses synthesis untuk hidup hanya dari cahaya matahari yang tidak dapat dipegang dan dirasa oleh indera?” Sambung Jamilah membuat Suria berfikir.
…………………….
“Ramadhan Mubarak!” Ucap Jamilah apabila tiba waktu azan Maghrib menandakan permulaan Ramadhan. Taqwim yang dikeluarkan oleh Jakim tidak pernah silap. Walaupun anak bulan kelihatan mahupun tidak. Puasa tetap berjalan seperti yang ditetapkan dalam taqwim tersebut.

“ Kenapa Su?” Tanya Jamilah apabila melihat Suria yang duduk di katil tidak memberi respon kepada ucapannya. Matanya tenang memerhatikan Jamilah tapi renungan itu penuh tanda tanya.

“Jika…Nabi Ibrahim akhirnya menemui Tuhannya, bagaimana pula saya? Adakah saya akan menjumpai-Nya jika saya mencari-Nya?” Tanya Suria tiba-tiba, membuat jantung Jamilah tersentak. Subhanallah! Suria mencari cahaya!

“Ilah, bawa saya berjumpa Tuhan!” Ucap Suria belum sempat Jamilah menutur kata. Jamilah tenang mengambil tempat duduk di sebelah Suria. Tangan Suria digenggam erat, seerat ukhuwahnya atas dasar hamparan akidah. Suria perlukan cahaya!
“Tapi Su, hanya dengan kematian kita akan berjumpa Tuhan.” Balas Jamilah, menduga reaksi Suria.
“ Tapi, kematian saya penuh dosa, mana mungkin Allah mahu berjumpa dengan saya.” Beritahu Suria, akhirnya air matanya menitis jua.
“Su, Allah itu sesuai dengan kehendak hamba-Nya. Walau berat tidak terpikul oleh seisi dunia pun dosa kita, ampunan Allah terlalu luas untuk diraih oleh hamba-Nya. Su, kita selalu berjumpa Allah. Setiap hari kita solat fardu, pagi petang, siang malam tanpa jemu. Itulah saatnya kita bertemu Allah, Allah selalu mengunjungi kita disaat kita sedang lena tidur. Allah panggil kita, bertanya khabar hamba-Nya, “Adakah hambaku bangun bertahajjud, meminta ampunan dariKu, aku ingin sekali mengampuni dosa-dosa mereka.” Su dengar tak Allah panggil?” Tanya Jamilah, semoga ketenangan yang dirasainya mampu dialirkan ke hati Suria. Suria, cahaya itu sudah tiba.
“Tapi, saya tak dapat rasa kehadiran Allah.” Balas Suria pula.
“Su tak dapat menangis, Su tak dapat memahami apa yang Su baca. Fikiran Su entah kemana-mana!” Tangisan Suria berubah menjadi esakan. Su, Saya juga pernah merasainya.
“Su, Allah hadir ketika kita solat, tapi adakah kita benar-benar hadir ketika solat? Di mana hati ketika itu? Apa kata hati ketika itu? Kata hati kita tidak seperti indahnya kata-kata yang dituturkan oleh lisan. Itulah sebabnya kita tidak dapat merasai kehadiran Allah yang sangat dekat dengan kita. “ Jamilah diam sejenak, menyusun kata agar mampu menusuk jiwa.
“Su, renung sejenak, ingat kembali kali terakhir Su solat, di mana Su letakkan Allah ketika Su berdiri untuk solat.” Sambung Jamilah. Dahi Suria berkerut.
“Apa maksud Jamilah? Mana mampu kita menentukan kedudukan Allah. Allah ada dimana-mana.” Balas Suria , air matanya diseka dengan jejarinya perlahan.
“Tapi Allah itu sesuai kehendak hamba-Nya. Allah memang ada dimana-mana. Tapi ketika kita solat, dimana kita letak Allah? di belakang? Di tepi? Di hadapan? Atau Allah tidak pernah hadir dalam setiap kedudukan itu? Su, ketika Su baca al-Fatihah, ketika Su rukuk dan sujud, kemana Su hadapkan tubuh Su? Adakah ketika Su hendak rukuk, Su berpaling kebelakang? Adakah ketika Su mahu sujud, Su akan menoleh ke tepi? TIDAK, KAN? KE MANA Su hadapkan qiam, ruku dan sujud Su? Ke hadapan! Su, ALLAH ADA DI HADAPAN KITA. Allah sedang berdiri di hadapan kita saat kita solat seperti seorang raja yang sedang bersedia mendengar cerita rakyatnya.” Beritahu Jamilah sambil tangannya menggenggam kemas tangan Suria. Suria tercengang. Allah di hadapanku? Kenapa selama ini tidak aku tahu? Oh Tuhan, di mana telah aku letak keberadaan-Mu. Kepada siapa aku menghadap selama ini? Suria kembali menangis, hiba mengabaikan Allah.

“Su, simpan tangisan itu, ambil wuduk dan kita solat Maghrib sama-sama. Simpan air mata itu untuk ditangiskan ketika sujud. Allah pasti senang dengan air mata itu.” Tegas Jamilah. Lalu bangkit untuk meninggalkan Suria.
……………..

“Su, bawalah segala masalah hidup ini ke dalam solat, ucapkan pada Allah, Allah pasti mendengar setiap rintihan Su,merintihlah dengan sesungguhnya.” Beritahu Jamilah sebelum mengimani solat Maghrib di bilik mereka.
Jamilah sengaja melambatkan setiap rukun solat yang sudah menjadi kebiasaannya. Dia tenang berlama dalam solat. Dia ingin mengikuti Rasulullah, rukuk dan sujudnya hampir sama dengan qiamnya. Rasulullah bukan terus bertasbih selama rukuk dan sujud itu kerana yang dianjurkan baginda hanya sunat 3 kali melafaskan tasbih, itu pun sunat bukan wajib. Tapi ummat menekankan yang 3 kali itu tanpa memahami hakikat menyebutnya, gopoh ketika mengucapkannya tanpa cuba menyelami makna pujian keagungan disebalik tasbih indah itu. Itulah yang ingin diajari baginda, tpai lain dikuti kita. Ya Allah, SURIA MENCARI CAHAYA-MU DAN AKU MERINDUI SYURGA-MU.

“Ya Allah, Aku datang kepada-Mu. Dengarlah rintihan hatiku. Dengarlah penyesalan hatiku atas dosa-dosaku. Berat untukku memikul dosa ini, ringankan ya Allah. aku tidak berdaya untuk bertemu dengan-Mu dan memohon syurga sedang dibahuku berguni dosa dan noda. Aku malu untuk mendekati syurga-Mu yang mewangi lantaran dosaku yang membusuk hina. Ya Allah, ampunkan aku tanpa jemu, dekati aku tanpa jemu, tarik aku tanpa jemu, tunjuki aku jalan tanpa jemu, redoi aku tanpa jemu, kasihi aku tanpa jemu. Ya Allah, rindui aku saat aku jauh dari-Mu agar aku tidak leka menyusun jalan ke neraka, peluki aku saat aku dekat denganMu agar aku tidak terlepas dari hidayah dan kasih sayang-Mu. Ya Allah, dengarlah rintihan aku, hamba-Mu ini bertaubat, Ya Allah.” Lama sekali Suria sujud seperti Jamilah sedang sujud. Kedua-duanya hanyut dalam rintihan yang berbeza. Hingga beberapa ketika, Suria tersedar mungkin Jamilah sudah bangkit dari sujudnya, cuma dia yang tidak sedar. Suria lalu bangkit dari sujudnya tapi Jamilah masih tetap di posisinya. Lama menanti Jamilah sujud, akhirnya Suria mengakhiri solatnya dengan salam.
Suria memerhatikan Jamilah yang terus sujud itu. Jamilah, bangkitlah, isyak sudah hampir tiba. Akhiri segera solatmu. Hati Suria merintih. Jangan begitu Tuhan, ini masih permulaan, aku perlukan dia sebagai bimbingan. Jangan begitu Tuhan. Rintih Suria pilu, yakin rasa hatinya Perlahan-lahan Suria memeluk bahu Jamilah di sisinya. Tubuhnya bergetar, Jamilah sudah pergi!

Tuhan,
Aku melihat Syurga melambaiku,
Aku merasa Rasulullah membisik sesuatu,
Aku merasa Malaikat senyum kearahku.
Rupanya aku mimpi.
Tuhan,
Hati ku berlari kepada-Mu,
Di saat azan memanggil penuh sayu,
Memanggil hamba-Mu yang rindu,
Aku datang tanpa ragu dan jemu.
Aku rindu merasa syurga-Mu,
Oleh itu aku kunjungi rumah-Mu,
Aku rasa ketenangan itu,
Itulah syurga yang ku rindu.
Aku terus mimpikan syurga,
Sehingga aku rindu menghuninya,
Aku rindu beriringan bersama baginda,
Sehingga tidak putus aku berselawat ke atasnya,
Aku rindu pada Mu Tuhan,
Sehingga aku rindu pada kematian.
Hilangkan kerinduan ini,
Moga tidak perlu lagi aku bermimpi.

0 comments: