HAI UMM QAIS (2)
Ada beberapa orang akhawwat berdiskusi dengan ku mengenai entri Hai Umm Qais (1) yang ku tulis dalam blog. Kata mereka, memang sepatutnya demi kelangsungan perjuangan seorang akhawwat dalam rumahtangga dan kehidupannya, ia perlu mencari teman hidup sefikrah. Ini kerana suaminya kelak pemimpin dirinya. Tapi masalah sekarang akhawwat yang memiliki kesedaran jauh lebih ramai dari ikhwah, sudah pasti menjadi kesukaran akhawwat mencari pasangan yang memiliki kefahaman yang sama. Jadi tidak salah ia mencari ‘orang lain’?. Lama juga aku berfikir, pandangan akhawwat-akhawwat itu memang ada logiknya dari beberapa sudut...Memang aku akui berdasarkan sedikit pengalaman, akhawwat lebih mudah menyahut seruan dakwah berbanding lelaki . Mungkin disebabkan akhawwat lebih ramai bilangannya di institusi kecemerlangan akademik seperti IPT dan lain-lainnya atau kelembutan wanita menyebabkan mereka mudah menerima kebaikan? Mungkin juga kerana bilangan wanita lebih ramai dari lelaki masa kini?. Apapun aku sendiri belum jumpa kajian yang mampu dijadikan bahan bukti sejauhmana istiqamah akhawwwat perjuangan khususnya selepas keluar dari alam pengajian dan setelah berumahtangga. Mungkin di tangan sahabat-sahabat ku yang lebih luas pengalaman ada data terperinci mengenai perkara tersebut.
Aku bertanya balik kepada akhawwat-akhawwat tersebut, kalaupun kenyataan akhawwat melebihi ikhwah hingga menyukarkan mereka memilih rakan sefikrah, tapi sejauh mana mereka telah berusaha untuk mencari pasangan yang memiliki fikrah dan kemahuan perjuangan yang sama untuk dijadikan pasangan? Adakah dia telah berusaha bersungguh-sungguh melalui saluran pelbagai? Bukankah mencari pasangan sebegitu satu tanggungjawab, satu amanah dan satu jihad? Bukankah kita telah setuju meletakkan ‘rumahtangga’ sebagai landasan kedua selepas pembinaan peribadi dalam proses mengembalikan khilafah Islamiyyah? Atau kita ada teori perjuangan baru yang lebih pintas dari jalan tersebut? Atau kita sebenarnya masih kurang yakin dengan teori perjuangan tersebut? Kalau begitu kalian memang tidak bersama rombongan kami…kita berada di perahu yang berbeza. Tapi ‘masalahnya’ kalian sendiri yang mengatakan ‘yakin’ dengan teori tersebut dan ingin keseberang dengan perahu yang sama dengan perahu kami. Sepatutnya bila sudah yakin, kenalah berjihad mempertahankannya dan berusaha ke arah perlaksanaannya.
Persoalannya: apa usaha yang telah ukhti lakukan? Berapa kali ukhti berusaha? Mudahnya ukhti berputus asa? Bukan kah kemenangan itu bagi orang yang sanggup bersabar walau sesaat?Apatah lagi kalau anda langsung tidak pernah melakukan 'satu' usaha pun...
Tambah ku lagi…andainya semua usaha tidak membuahkan hasil dan putera yang dicita-citakan tidak kunjung tiba sedang di sana ada lelaki lain yang memiliki nilai-nilai murni untuk dijadikan pasangan bagi memperolehi zuriat yang halal…aku juga tidak berani mengatakan ‘jangan’, bahkan aku akan berkata: 'teruskan dengan pemantauan murabbiahmu. Teruskan ...tapi di atas kepala kalian ada amanah yang sangat berat di dunia dan pasti dipersoalkan di akhirat. Antaranya:
Pertama: Ukhti wajib memastikan kesudahannya pasangan tersebut mengimani fikrah ukhti dan memperjuangkan perjuangan ukhti. Kalau ini tidak berlaku, pastinya ukhti sendiri akan menyesalinya suatu ketika nanti. Ini bererti sepanjang perkahwinan, mad’u ukhti yang pertama dan utama ialah suami ukhti. Ini memerlukan ukhti memiliki kekuatan yang tinggi untuk mentarbiah lelaki bergelar suami dan suami ukhti pula dari jenis yang boleh ditarbiah oleh isteri. Ada yang berhujah mengenai kehidupan Zainab al-Ghazali, diapun berkahwin dengan orang yang tidak seperahu dengannya…namun kekal istiqamah dalam perjuangannya setelah keluar dari penjara? Tapi adakah tarbiah kita semantap tarbiah zainab al-Ghazali? Mana perginya akhawwat-akhawwat yang pernah berhujah dengan perkahwinan zainab al-Ghazali kini? Masa akan menentukan…
Kedua: Ukhti perlu memastikan yang perkahwinan itu tidak menyebabkan ukhti futur dari perjuangan. Ukhti mampu berjalan lancar di atas jalan dakwah ini dan menunaikan amanah tarbiah yang diwariskan kepada ukhti. Ini kerana tarbiah dan perjuangan ini satu amanah berat. Setiap kecuaian takut melambatkan perancangan dan agenda besar dakwah. Pastinya ukhti tidak mahu menjadi penyebabnya?Ukhti akan dimuhasabah dengan hisab yang berat di akhirat nanti. Yakinlah…
Apatah lagi kalau ukhti tergolong di kalangan mutasaqitat dari landasan perjuangan yang ukhti sendiri kata: yakin. Takut ukhti akan tergolong di kalangan mereka yang difirmankan oleh Allah:
وَمَنْ يُوَلِّهِمْ يَوْمَئِذٍ دُبُرَهُ إِلَّا مُتَحَرِّفًا لِقِتَالٍ أَوْ مُتَحَيِّزًا إِلَى فِئَةٍ فَقَدْ بَاءَ بِغَضَبٍ مِنَ اللَّهِ وَمَأْوَاهُ جَهَنَّمُ وَبِئْسَ الْمَصِيرُ (16
Maksudnya: “dan sesiapa berpaling undur dari menentang mereka pada ketika itu – kecuali ia bergerak ke arah lain (untuk menjalankan tipu muslihat) peperangan, atau hendak menyatukan diri dengan pasukan yang lain – maka sesungguhnya ia tetaplah mendapat kemurkaan dari Allah, dan tempatnya ialah neraka jahanam; sedang neraka jahanam ialah seburuk-buruk tempat kembali”. [al-Anfal: 16].
Ketiga: Ukhti mampu mewariskan fikrah dan perjuangan ukhti pada diri anak-anak walau suami ukhti yang juga ketua keluarga tidak sefikrah dengan ukhti. Ini menyebabkan ukhti mengambil alih tugas memimpin keluarga dalam tarbiah dari suami ukhti. Perjuangan ini perlu diwariskan agar anak-anak ukhti mampu menjadi generasi penerus dalam agenda besar perjuangan. Bagaimana ukhti dahulu dibentuk, begitulah juga sepatutnya ukhti membentuk anak-anak ukhti. Bahkan ukhti telah terhutang budi pada fikrah dan perjuangan ini, kerananya ukhti jadi manusia hebat berbanding masa silam. Untuk membalas jasa dan sumbangan fikrah ini, ukhti perlu memastikan ada pewaris khususnya keluarga ukhti…itulah mafhum sebenar pembinaan keluarga selepas pembinaan peribadi.
Jika ukhti mampu melaksanakan semua tuntutan dakwah seperti di atas, insya Allah, kami doakan kesejahteraan untuk ukhti dan ukhti sebaris dengan zainab al-Ghazali. Ingatlah semua murabbi dan kawan-kawan setarbiah ukhti akan menyaksikan adakah ukhti telah benar-benar menunaikan tanggungjawab tersebut dan mengotakan janji ukhti pada diri, murabbi dan perjuangan ukhti. Firman Allah dalam ayat 55 surah az-Zaariyat :
وذكر فإن الذكرى تنفع المؤمنين
Maksudnya : Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatkan kerana sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada orang-orang yang beriman.
Adapun sengaja memilih orang yang langsung jauh dari kesedaran Islam, tidak berakhlak dan leka dengan kenikmatan dunia. Waktu itu tidak berkahwin lebih baik dari berkahwin. Kecualilah ukhti sehebat Asiah isteri Firaun dan ada murabbi sehebat Musa AS. Kami rasa akhawwat yang sudah ditarbiah bertahun-tahun tidak akan berbuat demikian…Kalau diteruskan juga, itu tandanya ukhti telah melebihkan kecintaan terhadap dunia melebih perjuangan ini...kami berlepas diri dari apa yang bakal menimpa diri..
Aku berkata kepada akhawwat-akhawwat tersebut, bahawa itu Cuma pandanganku. Mana-mana murabbi akan memberi pandangan seideal mungkin demi kelangsungan tarbiah anak didiknya. Sepatutnya menjadi tanggungjawab seorang mutarabbi menilai dengan teliti pandangan murabbinya. Jika semua itu tiada, tiadalah makna tarbiah. Bahkan dakwah ini sampai masanya memerlukan al-Indhibat dan al-Sam’u wa al-Ta’ah. Itulah manhaj yang kita fahami.
Namun seandainyanya mutarabbi memilih pandangan yang lain, itu haknya sebagai manusia yang dianugerahkan kebebasan memilih. Apapun, ia perlu membuktikan pandangannya betul di alam realiti. Kecualilah ukhti jadikan perjuangan ini sekadar tempat persinggahan alam remaja, bukannya nyawa pengerak kehidupan seluruhnya. Ukhti sendiri menentukan pilihan, tanggungjawab kami sudah selesai dengan memberi ilmu, didikan dan bahan berfikir, itu sahaja yang mampu kami berikan sebagai tanda sayang teramat sangat dan nilai ukhuwwah dari kami…mungkin kami berfikir terlalu ideal melebihi ibubapa kalian, ini kerana kami ingin menjadikan kalian pejuang sedangkan impian ibubapa ukhti mungkin berbeza…kami mengaku, mungkin pandangan kami salah dan pandangan kalian betul..kami cuma berijtihad sesuai dengan manhaj dakwah yang kami fahami, mudahan ada pahalanya…sampai masa kalau ukhti berada di tempat kami, kalian juga akan diajukan persoalan yang sama…waktu itu kalian juga akan berijtihad seperti kami. Semoga Allah memberikan apa yang kalian diimpikan, andainya impian tidak menjadi kenyataan dan gagal!…cukuplah bahan ini dijadikan muhasabah semula kerana waktu itu selayaknya kami berdiam diri. Sabda Rasulullah SAW: Siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah ia berkata yang baik-baik atau diam sahaja. Pesan Imam Abu Hanifah:
لا تحدث فقهك من لا يشتهيه
(Jangan kau bicarakan fiqhmu pada mereka yang tidak berselera mendengarnya)
Mudahan dengan berdiam diri, kami tidak menyakiti sesiapa…Itulah tahap tertinggi ukhuwwah kami.
Ampun maaf kalau ada yang terasa dengan kisah Umm Qais…
HAI UMM QAIS!...
(Khusus untuk Akhawwat anak didikku yang pernah berada di hadapanku untuk mendengar sedikit bicara tentang perjuangan, bagi kalian ini adalah silibus ulangan dan tambahan...sebagai tanda sayang yang tidak terkira...sebelum kita membawa halatuju masing-masing...)
Ibnu Mas’ud menyebut: seorang lelaki telah melamar seorang wanita yang dipanggil Umm Qais untuk memperisterikannya, wanita itu enggan berkahwin kecualilah lelaki itu sanggup berhijrah. Lantas lelaki itupun berhijrah kerana ingin memenuhi syarat wanita tersebut dan akhirnya merekapun berkahwin. Lalu ia digelar Muhajir Umm Qais. Kisah ini dianggap menjadi sebab wurud hadith pertama dalam hadith 40 Imam Nawawi yang biasanya dibaca dan dihafaz dalam halaqah tarbiah. Walaupun begitu ramai ahli hadith mempertikaikan kisah ini menjadi sebab wurudnya hadith tersebut (Lihat Jamie’ al-Ulum wa aaal-Hikam, hal. 14). Namun mereka tidak mempertikaikan kebenaran kisah tersebut dan pengajaran yang boleh diperolehi oleh umat Islam dalam memuhasabah niat dan amal mereka….
Tatkala mana Allah memfardhukan umat Islam di Mekah berhijrah ke Madinah, sebahagian mereka berhijrah kerana menyahut perintah Allah, cintakan agama dan perjuangannya. Tapi ada di kalangan mereka yang berhijrah kerana niat lain, demi perniagaan atau wanita yang ingin dinikahi. Yang pertama dianggap berhijrah kerana Allah dan kedua serta ketiga berhijrah kerana kepentingan dunia. Walaupun semua mereka sampai ke Madinah, namun di sisi Allah hijrah yang mereka lakukan tetap tidak sama. Bergantung kepada niat masing-masing. Lantaran itu Allah SWT memerintahkan RasulNya:
إذا جاءكم المؤمنات مهاجرات فامتحنوهن
(Apabila datang berhijrah kepadamu perempuan-perempuan yang beriman, maka hendaklah kamu uji mereka). (Surah al-Mumtahanah:10)
Kata Ibnu Abbas: “Apabila ada wanita yang berhijrah (ke Madinah), maka Nabi SAW akan meminta mereka bersumpah “ Demi Allah aku tidak keluar kerana bencikan suami, Demi Allah aku tidak keluar kerana cintakan bumi ini mengatasi bumi itu (Mekah), Demi Allah aku tidak keluar kerana ingin memperolehi keuntungan dunia, Demi Allah aku tidak keluar kecualilah kerana cintakan Allah dan RasulNya”. (Jamie al-Ulum wa al-Hikam:14)
Lelaki itu (Muhajir Umm Qais) akhirnya berjaya juga memperolehi gadis idamannya dan Umm Qais merasa tenang kerana teruna idaman telah memenuhi syaratnya. Mereka terlupa bahawa hijrah adalah perjuangan. Ia memerlukan niat yang tulus dan benar-benar mulus untuk tuhannya. Semua perlu dilakukan dari awal keluar rumah hinggalah tiba di tempat yang dituju, ikhlas kerana Allah. Seratus peratus kerana Allah. Andai tercemar niat tersebut, perjuangan itu tiada keberkatan. Rumahtangga tanpa keberkatan tidak mungkin menjadi benteng perjuangan. Ia umpama rumahtangga biasa, yang dibina oleh muda-mudi kerana ikatan cinta rupa, harta dan dunia.
Orang-orang yang berhijrah bukan kerana Allah pasti bukan redha Allah yang dicari. Mana mungkin mereka ini mampu diharap akan thabat di hadapan cabaran perjuangan. Mereka inilah yang sering mendatangkan masalah pada perjuangan. Lihatlah kisah perang Uhud dan Hunain dalam al-Quran. Kewujudan beberapa anasir yang niatnya duniawi, menjadi sebab kekalahan tentera Islam di sana.
Ramai yang membaca kisah Umm Qais dan hadith pertama tersebut beranggapan ia cuma tinggalan sejarah. Terlupa bahawa catatan sejarah mungkin akan berulang.
Bagi orang-orang yang pernah terlibat dalam mentarbiah akhawwat pasti akan menemui kisah Umm Qais di kalangan anak didiknya. Apatah lagi akhawwat paling ramai berminat dengan aktiviti usrah berbanding dengan lelaki. Setelah bertahun diberi kefahaman khususnya akan kepentingan mereka sebagai murabbi keluarga dan generasiakan datang, akan ada yang bertindak seperti Umm Qais apabila hendak memilih jodoh.
Saat itu akan ada yang mengeluarkan ‘stok lama atau baru’ yang dahulunya tersimpan dalam hatinya. Masalahnya kini, dirinya sudah tidak seperti dulu…ia sudah ditarbiah, ada fikrah, sudah difahamkan akan kepentingan rumahtangga dalam amal Islami menuju daulah dan khilafah. Ia sudah khatam fikrah al-Banna, kitab-kitab adik beradik Qutub dan mungkin juga Muntalaq dan lain-lainnya. Mana lagi setelah didaurahkan dengan ISK, bainal ams walyaum, Shahadatul Haq dan lain-lain…tapi stok lama sayang untuk dibuang. Ia sudah bertahta dihati tanpa diketahui oleh sang Murabbi.
Saat itu terfikirlah untuk ‘renovation’ kerana mana mungkin ia mengikuti lelaki itu dalam keadaan begitu. Ia tahu orang itu kurang fikrah atau mungkin langsung tidak faham apa itu dakwah dan tarbiah. Apatah lagi memahami tugas sebagai mas’ul rumahtangga dalam memimpin ahli keluarga menjadi pengerak ummah. Ini kerana ‘فاقد الشيءلا يعطي’ (orang yang tiada sesuatu tidak mampu memberikan sesuatu’. Akhirnya ia mensyaratkan lelaki itu join program tarbiah, ikut usrah, ikut halaqah…padanya itu sahaja cara mematchkan dirinya yang ditarbiah dengan ‘stok’nya. Demi kerana memenuhi tuntutan sang akhawwwat yang dicintai, setujulah sang teruna dengan syarat-syarat itu. Bagi sang akhawwat, kemasukan si teruna dalam program tarbiah seperti halaqah dan usrah adalah ‘cop rasmi’ yang mampu menenangkan hatinya untuk melayari bahtera rumahtangga dan menghilangkan rasa bersalah pada fikrah baru yang bersarang dalam kepalanya. Mungkin sebagai alasan untuk dapat approval dari sang Murabbi…
Sama ada ia terlupa atau sengaja buat-buat lupa bahawa proses tarbiah tidak cukup sebulan dua. Untuk dirinya sendiri berada di tahap sekarang ia terpaksa memakan masa bertahun-tahun. Pelbagai modul, halaqah, tamrin, mabit, mukhayyam, jaulah dan daurah yang ia terpaksa lalui. Belum lagi catatan pada borang muhasabah diri bertahun-tahun lamanya. Itupun sang murabbinya pernah menjelaskan, ini baru permulaan untuk perbincangan yang lebih penting dan kerja yang lebih besar di masa hadapan. Tapi pada diri teruna hatinya, ia mengharapkan sesuatu ‘keajaiban’ berlaku. Ia mengharapkan wiranya itu mampu menguasai apa yang ia fahami dalam tempoh yang singkat. Beberapa bulan sebelum walimahnya!. Mungkin tiada yang mustahil, tapi kalau niat awalnyapun sudah tidak jelas…pasti kisahnya seperti Muhajir Umm Qais dikesudahannya. Perjudian nasib yang tidak sepatutnya dilakukan oleh akhawwat yang masa depan diri, keluarga dan perjuangannya banyak bergantung pada lelaki yang memimpinnya. Bahkan ada yang mengatakan…takpelah, lepas walimah nanti saya akan cuba tarbiah suami saya macam yang saya faham…mungkin ia tidak pernah mengkaji tabiat lelaki…kesian.
Bagi sang murabbi, pasti pening kepala memikirkan jawapan apa yang sesuai apabila berhadapan dengan anak didik seperti itu. Dari aspek tarbiah, tidak salah menjadikan ia sebagai alasan untuk mengkategorikan yang anak didik itu masih tidak faham atau sengaja tidak mahu faham. Lainlah kalau kita sanggup ubah gerak kerja dakwah ini dan mendelete sahaja aspek pembinaan rumahtangga dalam marahil dakwah. Waktu itu sang Murabbi pula yang tidak faham tabiat dakwahnya.
Yang menyedihkan sesetengah kes ini berlaku pada akhawwat yang cukup pakejnya. Tidak susah mencari pasangan di kalangan rakan sefikrah. Tapi awal-awal lagi ia menutup ruang pasaran kerana sudah ada pilihan. Sang murabbi akhirnya terpaksa mengKIV dan mengklasifikasikan sebagai calon-calon yang bakal futur di masa hadapan khususnya setelah bertemu murabbi baru bergelar suami. Bahkan sejarah membuktikan begitu ramainya sang akhawwat yang terkurung dalam penjara suami begini, tak mampu bergerak. Ramai yang akhirnya terbudaya dengan budaya berfikir dan cara hidup suami. Pasif dan lebih menyedihkan fikrah yang tertanam tak mampu disemai dalam diri anak-anaknya sendiri. Tapi apa boleh buat namanya pun suami...mesti ditaati..
Mungkin bukan sekali dua sang Murabbi memberi nasihat dan tunjuk ajar lewat pertemuan tarbiah. Buku al-Bait al-Muslim juga mungkin khatam dibincangkan. Sayang idea murabbi cuma melekat dalam otak tapi tidak menjalar ke hati. Akhirnya sang murabbi terpaksa pasrah dan mendoakan kebahagian mereka tanpa amin dihujung…
Pernah aku mencadangkan kepada akhawwat yang tak mampu mengorbankan cinta lama demi perjuangannya agar...minta lah lelaki itu ditarbiah dahulu. Setahun, dua tahun, tiga tahun dan seterusnya...hingga terbukti bahawa ia bukan Muhajir Umm Qais. Biar ia melalui pelbagai ujian dalam tarbiah. Lepas tu kalau memang terbukti ia jujur...kahwinilah ia. Katanya lama sangat tu...tak tahan menunggu. Kenapa tidak mampu bersabar? Bukankah rumahtangga itu untuk selamanya? Hingga ke syurga?. Ia akan menjadi murabbi baru dalam usrah sebenar? ia akan memimpin dirimu dan anak-anakmu menuju perjuangan sebenar! (al-Nasr Sabru alSaah = kejayaan itu kerana mampu bersabar sesaat). Lagipun, dalam tarbiah kewaspadaan tahap tinggi sangat perlu, takut pilihan hati itu 'anasir bahaya' yang hadir sekadar untuk mencari rahsia...waktu itu tanpa disedari anda telah membawa masuk musuh dalam dalam rumah sendiri.
Apapun kisah ini akan terus berulang. Khususnya disaat budaya 'takut tak laku' dan 'mesti ada couple' menjalar dalam diri akhawwat muslimah. Tidak ramai sang akhawwat yang gemar jodohnya ditapis oleh murabbi dan dakwahnya. Baginya itu isu peribadi, isu keluarga...Malangnya bila rumahtangga bermasalah! Sang murabbbi lah orang pertama yang ia rasa mampu memberi idea penyelesaian. Mungkin kerana itulah sesetengah kawanku tidak mahu menghabiskan masa mendidik akhawwat. Bila difikir sikap mereka, ada benarnya.
Sang Akhawwat perlu sedar, memilih pemimpin keluarga bukan mudah. Perlu mengambil kira pandangan orang lain. Pandangan ibubapa sahaja tidak cukup apatah lagi kalau mereka sendiri tidak faham apa yang dia faham. Ibubapa biasa jarang meletakkan yang namanya ‘perjuangan’ sebagai hantaran utama sebelum perkahwinan. Bagi mereka yang dikira ialah dulang tembaga berisi perhiasan dunia dan wang berganda.
Sang Akhawwat perlu faham, apapun pilihannya selepas itu, ia bertanggungjawab sepenuhnya dan menanggung apapun risikonya baik di dunia maupun di akhirat. Moga Allah memberikan kita kewarasan berfikir dan mendahulukan Allah dan agamanya dalam membuat perkiraan. Kalau sebaliknya, pastinya kita menjadi orang yang paling menyesal di kemudian hari. Saat orang lain menghabiskan usia dalam medan perjuangan, kita mengira hari menuju kematian. Ketika buku usrah rakan setarbiah koyak rabak dikhatamkan dalam medan sebenar, buku kita koyak rabak dimakan anai-anai. Cuma sedar kewujudannya bila anak-anak yang sudah besar ingin membakarnya ketika membersihkan rumah orang tuanya yang dah tua dan tidak bertenaga.
Mungkin akan ada yang berkata, kenapalah sang Murabbi terlalu berfikiran negetif begini? Jawapannya senang sekali: kerana ia terlalu menyayangimu dan mengharapkanmu mampu menerima batton perjuangan yang bakal ia tinggalkan. Ia ingin kamu bahagia seperti Khadijah, Aishah, Fatimah...dalam rumahtangga perjuangan.
Sekadar melontar pandangan...mungkin aku tersilap dan mereka yang betul. Mudahan kita tidak termasuk dalam firman Allah SWT:
Maksudnya: Hai orang-orang yang beriman, apakah sebabnya apabila dikatakan kepadamu: “Berangkatlah kamu pada jalan Allah” Kamu merasa berat dan ingin tinggal ditempatmu? Apakah kamu merasa puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini berbanding diakhirat hanyalah sedikit. Jika kamu tidak berangkat untuk berjuang, niscaya Allah menyiksa kamu dengan siksa yang pedih dan digantinya dengan kaum yang lain, dan kamu tidak dapat memberi kemudharatan kepadaNya sedikitpun. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu”. Al-Taubah: 38-39.
p/s.. buat sahabatku y menghantar risalah ini, syukran jazilan padamu..
manusia itu berbeza.. itulah y cantik dan indahnya kehidupan ni. 1 pesanku pd diri sendiri.. jgn jumud pada 1 cara..(dah jelas kuantiti ikhwah tidak ramai berbanding akhawat.. jika blh, ingin sekali diri ini jua memilih 'teman' sejemaah. tapi jika tidak, cukuplah sefikrah bersama fikrah rasul Allah :)) benar mencari pasangan 1 jemaah sangat penting, untuk sama2 melancarkan, mempercepatkan perjalanan dakwah.. tetapi jgn di kira mereka y tidak sejemaah denganmu tidak hebat berkorban di jalan Allah. leka bekerja memikul amanah perjuangan.
padaku, cukup jika dia memahami dan ingin terus menyokong dirimu agar sentiasa produktif dalam saff jemaah.
ku tahu jemaah lah hadiah terindah dari Allah untuk hayat ini, dan doaku ku sentiasa berada dalam jemaah ini bekerja untuk Dia.
ku tidak ragu, apa ku buat kerana Allah, bkn krn jemaah. bukalah dadamu dan fikirlah sebesar- besarnya... pasti kau temui seseorang y mungkin blm d sentuh tarbiyah, ttp setelah 'di sentuh' jiwanya hidup ibarat sblm dia hidup d dunia lagi..
sahabatku, ku jua suatu wktu dlu bkn di medan tarbiyah, ttp dr mu jua salah seorang hamba Allah y istimewa di mata-Nya bertanggungjawab membawaku ke dunia penuh barakah ini. sehingga kita kini dpt berbincang fikrah perjuangan y sama.
jgn lupa jua, ku juga bkn satu jemaah denganmu, tetapi jiwa kita hidup bersatu dalam matlamat y sama. :)
moga Allah terus memberkati kita dalam perjuangan ini :)
moga menanti jodoh y terbaik untuk mu :)